NOVEMBER 2023

RM30 Bilion Dilulus, Biayai 1,104 Projek


KUCHING: Sebanyak RM30 bilion diluluskan untuk membiayai 1,104 projek pembangunan di seluruh Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak menaikkan jumlah siling itu kepada RM38 bilion susulan semakan separuh penggal tahun ini selaras dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua berkata, kenaikan ini untuk mempercepatkan momentum pembangunan bagi memastikan agenda ekonomi strategik Sarawak dapat dicapai pada 2030.

Menurutnya, siling RMK-12 yang meningkat juga membolehkan pelaksanaan projek pembangunan yang lebih strategik dengan matlamat untuk memberi manfaat kepada rakyat. 

“Bilangan projek yang diluluskan telah meningkat daripada 1,104 kepada 1,433 dengan 72 peratus atau 1,036 projek fizikal dan 28 peratus atau 397 bukan fizikal termasuk geran, sumbangan, pelaburan, program dan acara.

“Sehingga Oktober 2023, 171 daripada 1,036 projek fizikal atau 17 peratus telah siap. Baki 865 projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.

Katanya, perbelanjaan terkumpul dari 2021 hingga Oktober 2023 berjumlah RM16.9 bilion atau 45 peratus daripada jumlah siling yang disemak sebanyak RM38 billion di bawah RMK-12.

“Bagi pelaksanaan Projek Rakyat yang kini terdiri daripada

627 projek, jumlah siling RM2.072 bilion telah diluluskan di bawah RMK-12. 

“Sehingga kini, 271 projek telah disiapkan, manakala selebihnya dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.

Mengenai prestasi Projek Transformasi Luar bandar (RTP), Uggah berkata terdapat sejumlah 7,731 projek dengan kelulusan siling RM1.29 bilion. 

Dedahnya, sehingga Oktober 2023 sebanyak 4,145 projek atau 54 peratus daripada projek telah siap manakala baki 3,586 projek atau 46 peratus lagi dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Sumber dari : Jiwa Bakti